Apr 1, 2011

riNtiHan k3mAafaN


Hidup terlalu singkat untuk membenci. Memaafkan orang sekeliling kita adalah seperti memaafkan diri sendiri. Kesalahannya yang besar sekalipun wajar dimaafkan apatah lagi yang sengaja diperbesar-besarkan oleh kita sendiri.
Tirulah sifat Al A'ffu (Maha Pemberi Maaf)  Allah SWT yang terus-terusan memaafkan kesalahan hamba-Nya selagi kita sudi bertaubat. Hanya dosa syirik, selain itu pengampunan Allah tidak bertepi dan "bertapi" lagi.
Jadi siapakah kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan orang sekeliling kita? Kita hanya manusia yang turut berdosa. Apakah kita terlalu suci untuk tidak memaafkan dosa orang lain? Sesungguhnya, manusia lain berhak mendapat kemaafan sesama manusia. Dan manusia yang paling berhak mendapatkan kemaafan itu tidak lain tidak bukan ialah orang yang terdekat dengan kita, ahli keluarga kita dan sahabat-sahabat kita.
Kerana cinta Allah terus sudi memaafkan, dan kerana cinta jugalah kita seharusnya sudi memaafkan kesalahan orang lain hanya kerana mengharapkan kemaafan Allah. Ingatlah, kita mencintai mereka bukan kerana mereka mencintai kita, tetapi kerana perintah Allah agar mencintai mereka.
Katakan kepada diri, betapa sukar sekalipun, kau wajib memaafkan. Memang kadangkala ada tingkah lakunya, tutur katanya atau sikapnya yang terlalu menyakitkan hati. Ditahan-tahan rasa, ditutup-tutup mata, dipujuk-pujuk jiwa, tetapi kesalahan itu terbayang dan terkenang jua. Hendak melupakan? Ah, jauh sekali. Sekadar memaafkan pun begitu berat terasa di hati.
Bila datang perasaan semacam itu di hatimu, sedarlah ketika itu Allah menguji cintamu. Allah bukan sahaja menguji cintamu kepadanya, tetapi menguji cintamu kepada-NYA..
Pada ketika itu terujilah cinta kita, apakah benar-benar cinta kerana Allah atau cinta hanya mengikut perasaan atau cinta nafsu? Memang, orang yang paling dapat membuat dirimu marah ialah orang yang paling kau sayangi dan cintai. Jadi bila kita diuji begini katakan pada diri... Oh, Tuhan Kau sedang mengajarku erti cinta dan sabar.
Jika benar cintakan dia kerana cintakan DIA (Allah), maka mudahlah kita mengorbankan perasaan marah. Justeru sesungguhnya cinta itu sentiasa mengatasi dan mendahului rasa marah. Jika cinta kalah oleh marah, itu menunjukkan cinta kita belum benar-benar cinta! Kita bukan cintakannya, tetapi hanya cintakan diri kita sendiri.
Kemaafan itu akan memberi ketenangan bukan sahaja untuk orang sekelilingmu tetapi buat hati mu sendiri. Percayalah, kebencian dan kemarahan kita terhadap seseorang (lebih-lebih lagi kepada orang yang kita cintai) adalah lebih menyeksa diri sendiri berbanding dia yang kita marahkan.
Kemarahan seumpama 'bom jangka' yang menunggu saat untuk meledak di dalam diri kita.Ia boleh menjelma menjadi satu penyakit cinta yang sangat menyakitkan. Nama penyakit itu ialah "benci tapi rindu".
Sekali lagi, untuk mendapat ketenangan dalam hidup... berilah kemaafan. Kata ahli psikologi, bila kita memaafkan barulah kita 'bebas' dari belenggu individu, peristiwa dan keadaan yang kita marahkan itu.
Selagi belum memaafkan, selagi itulah apa yang kita marahkan sentiasa melekat pada diri dan hati kita.Kemarahan itu adalah "api" dalam hati kita. Ia panas dan membahang dalam diri. Manakala kemaafan umpama salju dingin yang akan memadamkannya.
Justeru, memaafkan pasangan adalah tradisi atau "life style" orang-orang yang soleh.Sayidina Umar memaafkan isteri yang meleterinya. Sayidina Ali pernah memaafkan Siti Fatimah yang pernah mengguris perasaannya. Kita tentu ingin meneladani mereka bukan? Bermulalah dengan sesuatu yang mudah, maafkan orang yang hampir dengan kita. Siapa lagi, kalau bukan ahli keluarga kita dan sahabat-sahabat kita?

Islam menuntut kita memaafkan musuh kita sekalipun. Ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Bahagia itu bukan dengan mendapat, tetapi dengan memberi. Bukan hanya memberi keperluan fizikal dan material tetapi keperluan jiwa dan emosi, itulah kemaafan. 
Anehnya kita sukar memaafkan orang yang masih hidup. Kita lebih mudah memaafkan orang yang telah mati. Sedangkan kemaafan itu penting untuk orang yang masih hidup, bukan untuk orang yang telah mati.
Bayangkan, ahli keluarga kita atau sahabat kita tiba-tiba sahaja meninggal dunia dan kita tidak sempat memaafkannya, tenangkah hati kita ketika ditinggalkan oleh si dia buat selama-lamanya? Sedangkan masih ada yang "tidak selesai" antara hati-hati kita berdua?
Atau kita sendiri yang tiba-tiba meninggal dunia, bolehkah kita kembali dengan tenang sebelum memberi kemaafan kepada orang lain? Jangan bertangguh lagi, maafkanlah, kerana tanpa kemaafan itu kita akan diburu rasa bersalah sepanjang hayat sekiranya salah seorang kita pergi menghadap Ilahi dahulu.

Percayalah! Saya pernah mendengar cerita betapa ada seorang sahabat yang kematian sahabatnya yang pernah dianggap musuh suatu ketika dahulu, yang hingga kini masih terseksa jiwanya akibat tidak memaafkan sahabatnya yang tiba-tiba mati dalam satu kemalangan yang tidak disangka-sangkanya. Mintalah kemaafan, dan berilah kemaafan, jika benar kita sedari mati itu datang tiba-tiba!

Telah berapa kali saya ulangi bahawa jika kita tidak maafkan orang lain, samalah dengan  tidak memaafkan diri sendiri. Hati kita akan lebih menderita kerana itu. Telah terbukti ramai penghuni rumah sakit jiwa adalah terdiri daripada mereka yang bakhil... Bakhil kerana harta? Bukan! Tetapi terlalu bakhil untuk memberi satu kemaafan. Jangan lokek untuk memberi maaf, jika tidak, hidup kita akan sentiasa diselubungi stress, murung dan resah walaupun mungkin tidak sampai dihantar ke rumah sakit jiwa.

Kekusutan fikiran bukan disebabkan oleh sakit urat saraf tetapi kerana emosi kehampaan, kekecewaan, kekhuatiran, kerisauan dan ketakutan akibat benci dan marahkan sesuatu, seseorang atau keadaan. Penyakit ini tidak dapat diubati oleh sebarang pil, antibodi ataupun vaksin... tetapi hanya oleh tindakan memaafkan orang lain. Memberi maaf itu adalah terapi dan penawar jiwa yang lara.

Seorang ahli falsafah, Plato pernah berkata,"kesalahan ahli perubatan ialah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan." Insya-Allah, sekiranya penyakit jiwa dan fikiran diubati terlebih dahulu maka penyakit lahiriah akan dapat diubati dengan mudah. Siapa doktornya? Bukankah diri kita sendiri? Apakah ubatnya? Ya, sikap pemaaf.
Justeru antara adab tidur yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan oleh kita ialah memaafkan kesalahan orang lain. Setelah membaca "4 Qul", doa tidur dan zikir-zikir yang lain, kita diminta memaafkan semua kesalahan orang lain pada hari itu.

Maafkanlah kesalahan orang seliling kita sebelum episod hari itu berakhir. Jangan simpan dalam"fail" di hati sanubari kita. "Delete" segera sebelum ia bertukar menjadi virus yang akan merosakkan rasa cinta, sayang, kemesraan dan kerinduan antara kita. Jangan lagi fikirkan "sepatutnya, dia tidak boleh buat begitu atau begini..." Selagi masih ada fikiran yang semacam itu, maka selagi itulah tidak akan ada rasa ingin memaafkan atau meminta maaf.
Siapa kita yang sepatutnya dilayan, dihormati dan dibelai mengikut jangkaan kita sendiri? Sebenarnya, jangkaan kita dalam satu-satu itulah yang menyebabkan berlakunya keretakan.
"Dia sepatutnya bersikap begini terhadap ku. "
"Dia tidak sepatutnya bersikap begitu dengan ku."
Jangkaan-jangkaan inilah yang menimbulkan kekecewaan apabila ia tidak berlaku seperti yang kita jangkakan. Dan anehnya itulah yang sentiasa berlaku. Kenapa? Jawabnya mudah, dunia dan kehidupan tidak seperti yang kita jangkakan. Oleh itu  jangan menempah sakit jiwa dengan sering menjangkakan sesuatu yang tidak mampu  dan tidak sepatutnya dijangka. Sebaliknya, terima atau jangkalah sesuatu yang tidak dijangkakan!
Justeru, bila berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan, maka sikap memaafkan adalah penawar yang paling melegakan. Oh, sepatutnya begitu, tetapi dia begini, tak apalah... aku maafkan. Aku akan terus mengingatkannya, mendidiknya dan mendoakannya. Semua itu kerana aku masih dan terus cintakannya. Bila ada maaf, itu petanda ada cinta. Tiada ungkapan, "tiada maaf bagi mu" selagi ada rasa cinta.
Kadang-kadang, ada yang terlalu sukar memaafkan sahabat mahupun pasangannya. Mereka ini sentiasa kesal, menyesal dan kecewa atas kesalahan, kekurangan dan kelemahan orang sekelilingnya. Mereka yang diserang penyakit "benci tapi rindu" ini akan menyeksa diri sendiri. Kadang-kadang, orang sekeliling dimarahi, diherdik dan dicaci. Rasulullah SAW sangat membenci sikap yang begitu.
Mereka yang sukar memaafkan orang lain akan terseksa sepanjang hidup. Hidup dalam kebencian, kesepian, kemurungan dan rasa bosan yang berpanjangan. Bila dekat timbul jemu, bila jauh timbul rindu.
Jadi maafkanlah selagi dia menjadi teman hidup mu. Kata ahli psikologi, "Tuhan boleh mengampunkan segala dosa kita, tetapi sistem saraf kita tidak." Maksudnya, sistem saraf tidak akan bertolak ansur dengan ketegangan dan kerisauan. Dan jauh lebih lama sebelum itu Rasulullah SAW telah mengingatkan, matilah kamu dengan marah mu!

3 comments:

aliff asyraf said...

40. Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik[1345] maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.
Asy-Syuura ayat 40

Maaf datang dari rasa insaf.. kadang-kadang kita menyalahkan orang, sedangkan salah itu datang dari diri sendiri.. sentiasa muhasabah diri, bersangka baik, insyaAllah hidup bahagia

ainzufr3ak said...

btol 2 aliff asyraf =)

wabit.ent said...

agree with aliff asyraf... selemah2 ukhwah adlh blpg dada.. ingat 10 muwasafat tarbiyyah..

Post a Comment